Jul 10
9
Jom Belajar Perakaunan
Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua.
Insyaallah pada hari ini, saya akan berkongsi dengan anda beberapa maklumat penting berkaitan dengan perakaunan. Ilmu ini betul-betul berguna kepada sesiapa sahaja sama ada dalam perniagaan mahupun dalam kehidupan anda sendiri. Untuk bahagian ini, saya akan menerangkan maksud perakaunan dan perkara yang sewaktu dengannya.
Bahagian 1: Apa itu Perakaunan???????
Definisi Perakaunan
Pertama sekali, anda hendaklah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan perakaunan. Secara umumnya, perakaunan merupakan satu proses mengenalpasti, merekod, mengelas dan meringkas semua peristiwa dan urusniaga secara sistematik dalam bentuk nilai wang serta mentafsirkan maklumat perakaunan yang diperoleh.
Disini saya akan terangkan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan mengenalpasti, merekod, mengelas dan meringkas serta mentafsir kepada anda.
i. Mengenalpasti urusniaga bermaksud membuat pemerhatian ke arah peristiwa ekonomi dan memilih peristiwa yang sesuai untuk direkodkan bagi sesuatu peristiwa tertentu.
ii. Merekod merupakan satu proses catatan urusniaga harian secara sistematik ke dalam buku catatan pertama iaitu jurnal.
iii. Mengkelas pula adalah satu pengkelasan melalui penggunaan akaun berdasarkan prinsip perakaunan. Pengkelasan tersebut dibuat kepada 5 akaun yang utama seperti aset, liabiliti, ekuiti, hasil dan belanja.
iv. Meringkas bermaksud meringkaskan maklumat urusniaga yang telah dikelaskan kepada imbangan duga. Imbangan duga ialah senarai yang menunjukkan baki-baki akaun pada satu tarikh tertentu.
Daripada imbangan duga ini, penyatakewangan akan disediakan.
v. Mentafsirkan pula melibatkan pengkajian, penganalisaan dan penterjemahan maklumat-maklumat perakaunan.
Untuk pengetahuan anda, perakaunan berperanan untuk menyediakan maklumat tentang prestasi dan kedudukan kewangan syarikat. Maklumat tersebut berguna kepada pengguna-pengguna maklumat perakaunan dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan ekonomi.
Selain itu, perakaunan juga merupakan bahasa perniagaan kerana ia adalah satu alat menyampaikan maklumat sesebuah perniagaan. Oh, betapa indahnya perakaunan jika anda mengetahuinya.
Rasanya setakat itu sahaja untuk entry kali ini. Berjumpa lagi di lain entry ya.
Sahabat Perakaunan Anda,
Ahmad Bashier
www.panduanperakaunan.com
admin@panduanperakaunan.com













