Apr 11
8
Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semoga anda semua berada dalam keadaan sihat selalu.
Baiklah,pada kali ini saya ingin berkongsi 2 perkara yang memudahkan kita yang bergelar usahawan internet ini iaitu:
a) Email
Ya, email merupakan perkara yang memudahkan kita. Hal ini kerana kita tidak perlu bersusah payah untuk memaklumkan sesuatu perkara kepada kawan kita dengan cara yang susah ketika dahulu iaitu dengan menghantar surat. Sekarang ini, kalau saya ingin menghubungi rakan-rakan saya yang jauh, saya akan menghantar email. Bukan itu sahaja, kalau saya ingin membeli produk digital, menghantar testimonial, dan sebagainya saya juga akan menggunakan email. Antara kelebihan email ialah ianya mudah, murah dan pantas.
Alang-alang bercerita berkaitan dengan email, saya ingin kongsikan email saya kepada anda semua iaitu admin@ahmadbashier.com . Kalau ada apa-apa masalah, cadangan dan penambahbaikkan, anda boleh emailkan kepada saya ya
b) Perbankan Online
Ya, ini juga merupakan suatu benda yang amat menyeronokkan saya. Bayangkan tatkala orang lain sibuk beratur panjang untuk membayar bil, saya pula hanya membayar bil-bil saya di internet sahaja. Dah lah tak perlu beratur, cepat dan mudah pula tu. Tetapi awas, anda perlu sentiasa pastikan laman web perbankan online anda tersebut adalah selamat. Kalau tak nanti, tiba-tiba sahaja anda lihat duit dalam bank anda sedikit. Biasanya ramai yang menggunakan Maybank2u da CIMBClicks. Bagi usahawan internet, kemudahan ini adalah wajib bagi mereka kerana ianya memudahkan mereka untuk membayar komisyen, membeli ebook dan melakukan pembayaran lain-lain.
Rasanya itu sahaja artikel ringkas saya pada kali ini. Sekiranya anda merasakan artikel ini bermanfaat kepada rakan-rakan anda, maka berkongsilah ya.
Jumpa lagi
Sekian,
Ahmad Bashier
www.ahmadbashier.com
Mar 11
2
Secara jujur, apabila saya membaca apa-apa sahaja bahan bacaan, kerap kali saya cuba mengabaikan sebarang kisah cinta yang dipaparkan. Itulah yang berlaku pada saya, sebab saya rasa kita boleh nampak sendiri depan mata soal itu. Paradigma diri perlu ada anjakan.
“Apalah, jiwangnya, sentimentalnya.”
Melihat beberapa drama berkisar zaman maharaja negara China contohnya, kita dapat lihat dengan nyata kebudayaan bangsa tersebut seboleh-bolehnya diangkat setinggi-tinggi yang mungkin. Terkini di RTM 1 ada drama bersiri “Lembing Awang Pulang ke Dayang”. Saya suka melihat jauh selain kebiasaan cerita diselitkan kisah cinta. Orang kaya yang berulang-alik dari Melaka untuk berdagang, adat kampung Awang yang agak rumit, bertatasusilanya gadis di kawasan kejiranan selain kehebatan berlayar nakhoda di kapal.
Paparan buat tontonan umum sebegini, anda fikir untuk siapa? Begitu juga lagu dan apa-apa buku sekalipun, kita sendiri perlu mengubah cara pandang tersebut.
Bagaimana mahu melihat ke arah itu? Jawapannya, belajar menganalisis. Barulah dapat kita kaitkan sesuatu perkara dengan hal yang lain. Kesinambungan yang tidak putus ini, suatu hari nanti ada pulangannya.
“Aku baca novel ni nak relax, ringan, tak perlu beratkan kepala.”
Kita dimomokkan untuk ambil mudah dengan perkara sekecil-kecil ini, memang silap besar. Kita perlu dan mesti membudayakan diri untuk melihat dengan lebih mendalam dan membandingkan apa yang kita dengar, baca dan lihat. Tak perlu berbangga dengan apa yang kita ada dalam pencapaian akademik dan sebagainya tetapi mata hati masih tak mampu menerobos dengan lebih jauh supaya lebih terkehadapan.
Jadi, bila lagi mahu membudayakan ilmu? Sebenarnya mudah, keupayaan menggunakan pengalaman diri yang terdahulu dan sekarang menjadi titik tolak daripada diri sendiri. Bukan orang lain. Walaupun purata bilangan buku setahun yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun telah meningkat dari 8 sehingga 12 berbanding sekadar dua sebelum ini, prioriti seterusnya ialah apakah kandungan bahan bacaan tersebut, menjana minda?
Sumber Asal: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1765-membudayakan-diri.html
“Untuk melihat nasib sesebuah negara di masa hadapan, lihatlah pada golongan remajanya hari ini.”
Ungkapan ini sering didengari. Ia merujuk kepada golongan remaja, yang merupakan ‘medium ramalan’ satu-satu bangsa atau sesebuah negara pada masa hadapan .Ungkapan ini jika dilihat dengan lebih mendalam ada benarnya.
Lembaran sirah telah membuktikan golongan remaja (pemuda) di zaman Rasulullah SAW merupakan golongan [B][I]avant-garde*[/I][/B], aset terpenting disaat permulaan wahyu hinggalah ke fasa perkembangannya.
[B]Golongan Avant-garde[/B]
Lihatlah peribadi Saidina Ali Karamallahu Wajhah, si pengganti tidur di katil Rasulullah. Atau, Mu’az bin ‘Amr yang berani mencari Abu Jahal di medan Badar.
Telusuri jua kisah Zaid bin Harithah, Abdullah bin Umar, Zaid bin Tsabit, Usamah bin Zaid dan ramai lagi ikon remaja yang melalui proses pentarbiahan Rasulullah hingga lahirlah mata-mata rantai penyambung perjuangan yang memiliki jati diri dan momentum Islami yang kekal berterusan.
Maka bertebaranlah golongan ini ke segenap 2/3 dunia, mecetuskan revolusi global. Menyinari semesta dengan Islam dan iman, disaat umat dalam zaman gelap jahiliyyah, hingga sampai kepada kita, umat Islam di Nusantara hari ini.
Tak kiralah anda bakal doktor, jurutera, pensyarah atau arkitek! Sesungguhnya dunia hari ini telah ramai melahirkan golongan professional. Tetapi kita masih ketandusan professional yang Muslim (dan Mukmin), yang sedar akan peranannya bukan hanya berlegar di gelanggangnya sahaja, tetapi seluas lapangan ummah, sejauh dunia merentang, setinggi langit dan bumi!
Sumber: ILUVISLAM DOT COM
Feb 11
25
Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat selalu.
Baiklah, pada hari ini saya ingin berkongsi dengan anda berkaitan dengan 2 kerjaya anak muda masakini yang boleh anda ceburi. Kenapa saya katakan sedemikian. Hal ini kerana kerjaya seperti ini tidak memerlukan kelulusan pengajian formal, mudah dan lumayan.
Antara kerjaya yang boleh anda ceburi adalah:
a) Internet Marketer
Kerjaya ini merupakan kerjaya yang sangat lumayan sekiranya anda tahu cara sebenar untuk buat duit di internet. Kerjaya sebagai internet marketer ini merupakan kerjaya yang luas skopnya dan memerlukan kesungguhan yang tinggi daripada anda. Antara kerja yang anda lakukan adalah dengan menyertai program affiliate. Sekiranya anda berjaya menghasilkan jualan melalui link affiliate anda, anda akan mendapat komisyen. Semakin banyak anda menghasilkan jualan, semakin tinggi komisyen yang anda akan peroleh. Menariknya, ia tidak memerlukan modal langsung. Apa yang anda perlu lakukan adalah promosi link affiliate anda tersebut sehinggalah mendapat jualan =)
b) Penulis
Menjadi penulis juga merupakan kerjaya yang cukup menarik. Seperti saya, saya merupakan penulis ebook. Setakat ini, saya sudah menghasilkan 3 buat ebook yang berlainan niche. Antaranya niche dalam bidang tuisyen, perakaunan dan bidang X(rahsia, saya tak mahu dedahkan). Menariknya, jualan ebook saya sentiasa ada setiap minggu. Bukan setakat menjadi penulis ebook, anda juga boleh menghasilkan buku fizikal dan menjadi penulis blog (blogger) jika anda betul-betul berminat.
Rasanya setakat itu sahaja artikel saya pada kali ini. Saya akan terus menghasilkan artikel-artikel yang berguna untuk tatapan pengunjung blog saya ini. Sekiranya anda merasakan artikel saya ini berguna, apa kata anda klik butang ‘share facebook’ untuk kongsikan kepada rakan-rakan facebook anda pula. Jumpa lagi ya.
Sekian,
Ahmad Bashier
www.ahmadbashier.com
Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semoga anda semua berada dalam keadaan sihat selalu.
Baiklah, pada hari ini saya cuma ingin kongsikan 2 perkara yang anda perlu lakukan apabila tibanya waktu cuti iaitu:
a) Siapkan kerja-kerja yang tertangguh
Ya, inilah peluang yang anda perlu lakukan ketika cuti dan perkara inilah yang saya selalu lakukan apabila tibanya waktu cuti. Walaupun ada beberapa perkara sudah dirancang sebelum ini, namun ada beberapa perkara yang belum dapat disiapkan sepenuhnya oleh saya pada waktu hari biasa. Jadi, apa yang saya lakukan adalah saya akan cuba untuk siapkan sepenuhnya segala perancangan saya sebelum tiba minggu baru.
b) Rancang aktiviti untuk minggu hadapan
Ya, inilah juga yang saya lakukan. Katakanlah sekarang ini adalah hari ahad, kita perlu merancang apa yang kita mahu lakukan ketika hari-hari bekerja. Contohnya:
Isnin: Update blog
Selasa: Hantar mesej kepada subscriber
Rabu: Sesi Networking bersama rakan-rakan
Khamis: Update Blog
Jumaat: Bagi talk
Ini hanyalah contoh perancangan sahaja. Jadi, terpulang lah kepada anda untuk merancang apa. Nasihat saya, pastikan perancangan anda itu dapat disiapkan dalam waktu yang ditetapkan taw. Jangan tangguh-tangguh pula.
Ok, rasanya setakat itu sahaja artikel pendek saya pada hari ini. Sekiranya anda merasakan artikel saya ini berguna, sila lah tekan butang share ya. Jumpa lagi di lain artikel
Sekian,
Ahmad Bashier
www.ahmadbashier.com
TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) mengetepikan amaran mengenai krisis kewangan daripada ahli ekonomi utamanya, demikian mengikut laporan sebuah badan pemantau.
Mengikut laporan itu juga, IMF yang sepatutnya memantau keadaan Amerika Syarikat (AS), sebaliknya bertindak sebagai penyokong.
IMF gagal ‘menyatakan kerapuhan ketara’ sistem kewangan AS sebelum berlakunya krisis 2008, mengikut laporan setebal 51 muka yang dikeluarkan Pejabat Penilaian Bebas dana mata wang itu.
Di sebalik amaran yang diberikan Ketua Ahli Ekonomi IMF, Raghuram Rajan pada 2005 mengenai produk kewangan kompleks sama yang boleh menjerumuskan dunia kepada krisis, tiada tindakan yang diambil terhadap amaran itu.
“Di sebalik kedudukan penting perunding ekonomi itu, tiada tindakan susulan terhadap analisis dan kebimbangan Rajan itu apabila pandangannya langsung tidak mempengaruhi program kerja IMF.”
Badan pemantau itu sebaliknya mendakwa bahawa IMF ‘selalunya memihak kepada sektor kewangan AS dan dasar pihak berkuasanya kerana pandangan tabung itu biasanya sejajar dengan Rizab Persekutuan AS.
Laporan itu mengkritik dengan teruk tabung berpangkalan di Washington itu, yang mana mandatnya adalah untuk memantau ekonomi sekeliling dunia dan memberi amaran apabila terdapatnya risiko.
“Kepercayaan pasaran kewangan secara asasnya kukuh dan institusi kewangan besar dapat menyerap sebarang kemungkinan masalah menyebabkan kurangnya tindakan segera untuk menangani risiko atau bersikap bimbang mengenai kemungkinan berlakunya perkara sebaliknya,” katanya.
Badan pemantau itu berkata, IMF sepatutnya mengambil langkah untuk meningkatkan pemantauannya, seperti memasukkan ekonomi maju dalam program yang dilaksanakan selepas krisis kewangan Asia lebih sedekad lalu.
“Negara maju tidak termasuk dalam program berkenaan yang dilancarkan selepas krisis kewangan Asia, di sebalik perbincangan dalaman dan permintaan daripada ahli lembaga dan pihak lain,” katanya.
Sejak krisis kewangan bermula, IMF melihat kuasanya semakin meningkat. Ia telah menjadi pusat sokongan kecemasan bagi negara dari Mexico hingga Poland, dan menyelamatkan yang lain, paling ketara ialah Greece dan Ireland.
Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn dalam kenyataannya memberikan sokongan kepada laporan itu.
Beliau berkata, IMF secara jujur mengakui kegagalannya sebelum berlakunya krisis, yang dianggapnya sebagai ‘memalukan’.
Katanya, pembaharuan sudah pun dilakukan bagi menambah baik pemantauan.
“Tumpuan agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan itu ialah mengukuhkan pemantauan dan pinja-man bagi kestabilan sistemik,” katanya. – AFP
FACEBOOK mungkin membenarkan kakitangannya menjual pegangan saham masing-masing dalam syarikat itu bernilai sehingga AS$1 bilion pada harga yang akan meletakkan nilai penyedia rangkaian sosial itu pada AS$60 bilion.
Mengikut laporan berita teknologi laman web All Things Digital, minat mendalam yang ditunjukkan pelabur institusi mendorong Facebook menimbang membenarkan kakitangannya menjual saham mereka dalam syarikat swasta yang berpangkalan di California itu.
Langkah itu bermakna Facebook kini percaya nilainya sudah melonjak 20 peratus sejak bulan lalu, apabila ia menjana AS$1.5 bilion daripada satu tawaran saham yang dibuatnya kepada pelabur persendirian terpilih, yang sekali gus menetapkan nilainya pada kira-kira AS$50 bilion.
Harga daripada kemungkinan penjualan saham oleh kakitangan itu akan memberikan syarikat itu penilaian lebih tinggi berbanding syarikat gergasi lain seperti Boeing atau Time Warner.
Bagaimanapun, pendapatan tahunannya, yang sebahagian besarnya diraih daripada pengiklanan, dianggarkan sebanyak AS$2 bilion, jauh lebih kecil berbanding Boeing AS$64.62 bilion dan Time Warner AS$26.5 bilion.
Facebook berkemungkinan membenarkan kakitangannya menjual pegangan masing-masing bagi meraih keuntungan daripada kejayaan laman web itu ketika ia menimbang kemungkinan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan penyenaraiannya di bursa saham.
Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg, yang dikatakan menguasai seperempat saham syarikat itu, sebelum ini menolak desakan supaya beliau menyegerakan IPO itu. – AFP
Sumber: Berita Harian
Feb 11
5
Tahukah anda kebanyakan mereka yang gagal dalam perniagaan adalah mereka yang hanya mempelajari bagaimana bergelar ‘tauke’ atau ‘boss’? Anda mungkin selalu mendengar rakan atau kenalan bercerita hari ini yang dia sudah menjadi ‘tauke’. Selepas beberapa ketika kita mendengar ‘tauke’ tersebut sudah menjadi taugeh. Seperti taugeh, hari ini ditanam, selepas dua ke tiga hari sudah dicantas. Begitulah juga ceritanya ‘tauke’ yang menjadi taugeh tadi. Tidak sempat mata berkelip, cerita hanya tinggal cerita.
Bagaimana ini berlaku? Ini sebenarnya bermula dengan masalah definisi dan persepsi. Kebanyakan orang mendefinisikan ‘tauke’ itu sebagai ‘boss’ atau tuan besar. Apabila sudah mampu memulakan satu perniagaan, maka mereka layak menjadi ‘tauke’. Sememangnya gelaran ‘tauke’ itu sangat besar maknanya pada kredibiliti seseorang. Tetapi apa gunanya jika kesudahan ‘tauke’ itu akhirnya menjadi taugeh? Apa yang ada pada gelaran?
Tauke yang menjadi pelanggan
Perkara yang paling utama dalam perniagaan adalah jualan. Tiada jualan bermaksud tiada perniagaan. Oleh yang demikian ia adalah perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan sesebuah perniagaan.
Kegagalan utama peniaga ialah gagal membuat jualan yang baik. Mereka gagal membuat jualan kerana mereka gagal mengenalpasti ‘bagaimana barang yang dijual itu akan dibeli’. Ini berlaku kerana gagalnya memikirkan bagaimana seorang pelanggan berfikir. Begitu juga apabila gagal menyedari bahawa pelanggan itu adalah nyawa perniagaan. Bukankah wang itu datang dari pelanggan?
Kebanyakan peniaga merungut dengan karenah pelanggan yang cerewet dan meminta yang bukan-bukan. Saya juga kadangkala bersetuju dengan mereka khususnya perihal pelanggan yang mahukan barangan atau perkhidmatan pada harga yang tidak masuk akal. Tapi itulah dia pelanggan.
Oleh itu perlulah seorang ‘tauke’ itu tahu menjiwai pelanggan. Menjiwai pelanggan akan membolehkan ‘tauke’ tahu apa yang hendak dijual dan bagaimana hendak menjual serta memperoleh keuntungan. Permintaan boleh wujud sungguhpun tiada penawaran tetapi penawaran tidak akan wujud tanpa ada permintaan. Disinilah kita perlu tahu kuasa permintaan lebih kuat daripada kuasa penawaran. Dan raja kepada permintaan itu adalah pelanggan. Oleh yang demikian, amat perlu bagi ‘tauke’ untuk tahu bagaimana ‘Raja Permintaan’ ini berfikir.
Tauke syok sendiri
Salah satu semangat yang ada pada tauke baru yang kurang pengalaman ialah semangat bersaing yang keterlaluan. Masih ramai yang suka hendak bersaing dengan cuba memberikan sesuatu yang terbaik tetapi keterlaluan. Antaranya memberi harga yang terlalu murah atau memberi perkhidmatan dan produk pada kualiti yang berlebihan.
Pelanggan mana yang tak akan akan menyukai perkara ini tetapi mereka tidak akan menyukai lagi apabila perkara tersebut telah tiada. Diwaktu ini, kebanyakan ‘tauke’ terkial-kial mencari jalan bagaimana hendak menaikkan kembali jumlah pelanggan yang merosot.
Semua orang faham adalah perkara biasa bagi ‘tauke’ memberikan kuantiti yang lebih dan harga yang murah sebagai strategi memperkenalkan diri. Walaubagaimanapun ianya harus terancang. ‘Tauke’ harus menarik balik sesuatu dengan mengekalkan sesuatu. Mereka harus memberi sebab mengapa pelanggan tidak perlu mencari yang lain dan masih berbaloi berurusniaga bersama mereka.
Pelanggan ada pilihan tetapi masih boleh membuat mereka tiada pilihan
Ini bukanlah strategi menipu atau menganiaya pelanggan. Ia adalah strategi mempastikan pelanggan sentiasa merasakan berbaloi berurusniaga bersama kita.
Urusniaga sangat banyak berkaitan dengan psikologi manusia. Manusia membeli kerana hatinya setuju membeli. Hati setuju membeli apabila tertarik atas tawaran. Tujuan memberikan sesuatu tawaran menarik adalah untuk menarik perhatian.
Menarik balik tawaran bererti pelanggan akan tidak tertarik. Jadi bagaimana hendak mempastikan mereka sentiasa tertarik untuk berurusniaga?
Disinilah perlunya konsep gantian. Tawaran menarik perlu sentiasa ada sebagai magnet. Gantian pula adalah senjata untuk mempastikan kos terkawal dan ada keuntungan dalam urusniaga. Hakikatnya memang perlu ada gantian kerana pelanggan mudah bosan dengan tawaran yang serupa dalam satu tempoh masa.
Strategi dalam gantian inilah yang harus diperhalusi. Pasaraya besar contohnya menjual ayam panggang pada harga seekor ayam mentah. Itu adalah lebih baik daripada dibiarkan ayam mentah tidak terjual dan tamat tempoh. Adalah lebih baik mendapat pulangan modal daripada rugi terbuang. Lebih rugi bila perlu menambah kos untuk melupuskan bahan buangan.
Hari ini anda memberi diskaun apabila orang membeli nasi goreng. Kemudian apabila harga nasi goreng kembali seperti biasa, anda boleh mengagak, pelanggan akan kurang membeli nasi goreng lagi. Tengok stok anda apakah bahan yang masih tidak terjual. Contohnya stok spaghetti. Jual barangan tersebut pada harga murah. Kemudian letakkan syarat, dengan membeli nasi goreng pada harga biasa, mereka boleh membeli spaghetti pada diskaun 50%. Itu adalah contoh.
Dengan cara ini, anda dapat menghabiskan stok lama dan pada masa yang sama anda sentiasa memberi tawaran menarik kepada pelanggan. Inilah strategi perniagaan yang memerlukan minda yang kreatif dan realistik.
Tiga rahsia memikat hati pelanggan
Tiga perkara ini adalah asas yang paling utama dalam mempastikan pelanggan terpikat dan terikat pada perniagaan kita. Perkara tersebut ialah
1. Pelanggan tidak mahu merasa rugi.
2. Pelanggan mahu terasa untung.
3. Pelanggan selesa pada keadaan yang selamat.
Tiga konsep ini digunakan sebagai sifir utama bagi kumpulan pemasar antarabangsa di seluruh dunia dalam merancang pelan pemasaran mereka. Mereka sentiasa akan mempastikan psikologi pelanggan akan memperoleh salah satu atau lebih daripada tiga asas diatas. Selamat mencuba.
Kesimpulan
Jadilah anda seorang ‘tauke’ taugeh daripada menjadi tauke macam taugeh. Perniagaan bukan semudah cerita seindah bicara. Perhalusi segala segi sekiranya anda mahukan 9 daripada 10 rezeki anda datang daripada perniagaan. Jikalau tidak perniagaan akan mengambil 9 daripada 10 rezeki anda yang sudah sedia ada. Apabila mahukan 9 daripada 10 rezeki, harus juga usaha anda 9 kali ganda sepertimana ganjarannya.
Satu pepatah arab berbunyi ‘ al-ilm kan nur fil hidayah’ yang bermaksud ilmu itu adalah penyuluh dalam kegelapan. Tuntutlah ilmu perniagaan pada ertikata sebenar. Jangan mudah terpedaya dengan dakyah perniagaan mudah dan senang. Lebih susah satu perniagaan itu dijalankan, maka lebih mudah perjalanan perniagaan anda dimasa mendatang, kerana apabila lebih sedikit orang yang mampu melakukannya, maka lebih peluang untuk anda memonopoli bidang perniagaan itu dan lebih senang anda beruntung apabila perniagaan telah berakar umbi dan kukuh.
Sumber Asal: http://www.iluvislam.com/bisnes/tips-perniagaan/1553-apabila-tauke-menjadi-taugeh.html